Monday 17 August 2009

KELEBIHAN TONGKAT



Salah satu lagi khazanah penting bagi umat islam ialah mengenai TONGKAT. Dalam tamadun Islam memakai tongkat atau bertongkat, adalah salah satu akhlak atau tatacara kehidupan para nabi, orang-orang salih dan ulama-ulama Islam zaman dahulu.

Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma berkata, yang bermaksud: “ Bertumpu kepada tongkat termasuk akhlak para Nabi . Dan Nabi (Muhammad) Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sendiri adalah bertumpu kepada tongkat.”

Diriwayatkan juga oleh Ibnu Abbas bahawa: Tongkat adalah tanda orang beriman dan sunnah para Nabi. Dan sesiapa yang keluar berlayar jauh (musafir) dengan membawa bersamanya tongkat dari kayu Luz Pahit, dia diselamatkan Allah daripada segala binatang buas yang memudaratkan dan pencuri yang derhaka (berdosa).

Dalam Al Qur’an sendiri terdapat beberapa ayat yang menunjukkan bahawa ada Nabi-Nabi yang memakai tongkat, sama ada dalam kehidupan harian atau ketika sedang beribadat. Nabi-Nabi berkenaan ialah Nabi Sulaiman Alaihissalam (Surah Saba 34:14) dan Nabi Musa Alaihissalam (Surah Al – A’raaf 7:107 dan Suarh Thaha 20:18 -20).

Diriwayatkan dalam beberapa hadis bahawa, Nabi Muhammad Sallallahu ‘ Alaihi wa Sallam juga memakai tongkat, begitu juga para sahabat dan ulama-ulama lain seperti Imam Al-Syafie Radiallahu Anh.

Al Qur’an telah menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam adalah salah seorang Nabi yang memakai tongkat, Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah Saba 34:14, yang tafsirnya bermaksud : “ Maka manakala kami telah menetapkan kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya…”.

Ayat ini mengesahkan tentang kematian Nabi Sulaiman Alaihissalam dan bagaimana Allah Subhanahu Wa Ta’ala menutupi kematiannya daripada pengetahuan jin dan manusia dalam tempoh yang agak lama. Dan selama tempoh berkenaan Nabi Sulaiman Alaihisssalam tetap bertelekan (berpegang) kepada tongkat yang menjadi penompangnya.

Kemudian melalui tongkat ini pulalah rakyat, termasuk jin, dapat mengetahui bahawa Nabi Sulaiman Alaihissalam telah wafat, iaitu tatkala tongkat berkenaan jatuh ke lantai ketika salah seorang daripada kalangan jin memegang dan ingin mengangkat tongkat itu, tetapi rupa-rupanya tongkat itu sudahpun repot di makan anai-anai.

Mengikut beberapa orang ulama tafsir, antaranya Syeikh Ibnu Hayyan dalam buku Tafsir Al Bahr Al Muhith pada suatu hari seorang belia masuk menemui Nabi Sulaiman Alaihissalam tanpa terlebih dahulu meminta izin. Nabi Sulaiman Alaihissalam bertanya : “ Kenapa engkau masuk tanpa izin?” Belia itu menjawab : “ Aku masuk setelah mendapat izin”, Nabi Sulaiman Alaihissalam bertanya : “ Siapa yang memberi keizinan itu”. Belia itu menjawab: “ Tuhan yang empunya mahligai ini”. Melalui jawapan itu tahulah Nabi Sulaiman Alaihissalam bahawa belia itu adalah Malaikat Maut yang datang untuk mencabut rohnya. Kemudian Nabi Sulaiman Alaihissalam terus sembahyang sambil memegang (bertelekan) kepada tongkatnya. Lalu Malaikat Maut mencabut rohnya.

Ibnu Abbas Radhiallahu Anhuma berkata : “ Memakai tongkat adalah salah satu akhlak para Nabi, dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri adalah memakai tongkat”. Dalam beberapa hadis telah sabit bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam ada bertongkat, sama ada ketika berjalan atau ketika berkhutbah.
Pembuatan tongkat ini, boleh diungkayahkan dengan berbagai cara. Terdapat reka bentuk yang begitu indah yang sering kita temui apabila sebatang tongkat itu dibentuk atau dibuat. Di antara jenis-jenis tongkat yang dibuat adalah seperti jenis yang Cangkuk, Jenis “ r “ Tombol dan Gagang Pistol. Contohnya sebatang tongkat yang diperbuat daripada jenis Cangkuk dan dari jenis kayu adakalanya dibuat sehingga tingginya 86 cm dan berat sekitar 450 gram ini bergantung kepada jenis bahan yang digunakan untuk membuatnya dan warna yang digunakan juga selalunya disesuaikan dengan jenis lorekan tongkat yang dibuat seperti warna coklat tua, hitam, putih dan sebagainya. Bagi pembuatan tongkat jenis Cangkuk ini hujung pemegangan tongkat senyawa dengan leher dan batangnya. Keseluruhannya budai warna coklat hujungnya pula adakalanya bersampak hitam. Ada juga jenis cangkuk ini yang hujung pemegang tongkat diperbuat daripada PERSPEX berwarna merah tua dengan ukurannya yang tertentu, berongga dan boleh ditangalkan daripada tangkai tongkat dengan memutar-mutarkannya.

Di dalam kitab Al Bayan Wa At – Tabyin disebutkan bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam memiliki jenis tongkat seperti Mikhsharah, Kadhib dan Al ‘Anazah. Dalam As –Shahih daripada Ibnu Umar adalah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam (apabila) pergi di sebelh pagi ke tempat sembahyang, (Al-‘Anazah) akan dibawa bersama di hadapan Baginda, lalu Baginda sembayang dan (Al-‘Anazah) itu dipacakkan di arah kiblat.

No comments:

Post a Comment